Intel Memperkenalkan Siri CPU Generasi Kesepuluh Ice Lake

Intel mengumumkan di acara Computex Taipei bahawa mereka akan mula memperkenalkan peranti dengan siri CPU generasi kesepuluh mereka, yang hadir dengan kod nama Ice Lake pada penghujung tahun ini.
Nampaknya kita akan dapat melihat peranti-peranti tersebut tidak lama lagi kerana Intel baru sahaja mengumumkan SKU cip pemprosesan tersebut untuk peranti mudah-alih melalui CPU Intel siri Y dan siri U.
Untuk pengeluaran awal, Intel akan memfokuskan perhatian mereka terhadap komputer riba, dimana sebahagian besar peranti-peranti diluar sana masih dikuasakan oleh CPU daripada Intel.
Project Athena ialah satu nama yang banyak diperkatakan, kerana dengan projek ini, Intel dilihat ingin merombak semula konsep Ultrabook, iaitu peranti ringan dan nipis yang juga hadir dengan spesifikasi berkuasa dan premium.
Dengan siri CPU Ice Lake, Intel dilihat bukan sahaja memperkenalkan ciri-ciri baru seperti sokongan untuk WiFi 6 (802.11ax), tetapi juga sokongan untuk palam Thunderbolt 3 dan kebolehan grafik yang lebih berkuasa melalui cip grafik Iris Plus yang membolehkan pengguna bermain permainan komputer tanpa memerlukan cip pemprosesan grafik kendiri.
Apa yang lebih menarik lagi ialah kesemua siri CPU yang diperkenalkan Intel, dari Intel Core i3-1000G1hinggalah Intel Core i7-1068G7 akan hadir dengan ciri Hyper-Threading dimana jumlah bebenang kuasa adalah dua kali jumlah teras fizikal didalam CPU tersebut. Bergantung kepada model CPU, komputer-komputer riba Ice Lake akan tiba dengan CPU dengan dua teras dan empat bebenang kuasa hinggalah CPU dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa.
Dalam pada itu, kesemua CPU Ice Lake juga hadir dengan jumlah TDP yang rendah, dari 9W sehinggalah 28W sahaja. Intel turut mengesahkan bahawa pada penghujung bulan Ogos dan awal bulan September, mereka akan menunjukkan 11 model komputer riba nipis dan ringan yang menggunakan CPU Intel generasi kesepuluh ini, termasuklah komputer riba tradisional dan juga model-model yang mempunyai rekaan 2-dalam-1 dan sebagainya.
Intel nampaknya sudah merasa bahang persaingan daripada AMD yang bertungkus-lumus merapatkan jurang diantara kedua-dua syarikat tersebut. Walaupun AMD boleh dikatakan sedang memenangi pertarungan CPU desktop, Intel masih boleh mengatakan mereka memegang takhta pasaran CPU komputer riba.
Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu peranti-peranti Intel generasi kesepuluh ini tiba di pasaran nanti.