Pengguna Samsung Galaxy S20 Ultra Melaporkan Masalah Lensa Kamera Yang Pecah Secara Tiba-Tiba

Samsung Galaxy S20 Ultra adalah peranti mercu premium Samsung tahun ini. Harga jualan menghampiri RM5000 dan mempunyai kamera 108MP dan kemampuan zum 100x. Ia turut menggunakan skrin AMOLED 120Hz yang lebih mendatar dengan rekaan skrin berlubang. Pada bahagian kamera, Samsung menggunakan modul kamera segi empat yang mempunyai bonjol sangat tebal.

Terkini, melalui laporan dari Sammobile – ramai pengguna Samsung mengalami masalah lensa kamera peranti yang pecah secara tiba-tiba. Menurut laporan, pengguna-pengguna yang mengalami masalah ini menjaga peranti mereka dengan baik. Tiada insiden terhentak, terjatuh, malah ramai di antara mereka menggunakan kerangka pelindung berkualiti. Masalah ini dilihat bercampur-campur, ada yang hanya mempunyai retak halus yang mengehadkan kemampuan zum ada juga yang terus pecah meninggalkan lubang besar.


Samsung dikatakan mengambil kira masalah ini sebagai kerosakan kosmetik, iaitu salah pengguna dan mereka tidak boleh membaiki peranti mereka secara percuma. Sebaliknya mereka perlu membayar pada harga $100 (~RM436) untuk pengguna yang melanggan Samsung Premium Care dan $400 (~RM1745) bagi pengguna biasa. Kemudian, disebabkan wabak Covid-19 yang berleluasa, tidak semua pengguna dapat membaiki peranti mereka.

Buat masa ini, Samsung masih belum mengakui yang perkara ini adalah satu isu. Ini kerana isu ini dilihat hanya berlaku pada segelintir pengguna sahaja dan tidak meluas. Ini juga bukan isu pertama yang berlaku pada Samsung Galaxy S20 Ultra, sebelum ini pengguna melaporkan masalah pemanasan dan pemfokusan kamera. Manakala siri Galaxy S20 lain ada mengalami masalah reboot secara tiba-tiba dan juga masalah GPS.

Tiada ulasan: