Trump Melanjutkan Halangan Perdagangan Huawei Sehingga Mei 2021

Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini telah melakukan halangan perdagangan terhadap beberapa syarikat dari China – termasuk Huawei, memetik beberapa masalah sekuriti. Walaupun perkara berkenaan dicabar oleh Huawei, namun, pihak Amerika Syarikat tidak beralih daripada halangan perdagangan berkenaan.

Terbaru, menurut Reuters, Presiden Amerika Syarikat dilaporkan melanjutkan halangan untuk syarikat Amerika Syarikat bekerjasama dengan syarikat peralatan telekomunikasi seperti Huawei dan ZTE sehingga Mei 2021 kelak.

Ini sekaligus membuatkan syarikat dari China seperti Huawei tidak boleh menjual produk mereka di Amerika Syarikat, atau bekerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat. Sebelum ini, hal ini turut memberikan kesan terhadap Huawei untuk bekerjasama dengan Google untuk penawaran perkhidmatan Google Play pada peranti keluaran mereka, mahupun mendapatkan cip pemprosesan dengan rekaan ARM.

Halangan ini telah dilakukan sejak daripada tahun lepas, dan kini ia dilihat dilanjutkan selama setahun lagi. Sebelum ini, kerajaan Amerika Syarikat telah melanjutkan dengan menawarkan akses lesen terhad untuk beberapa perkara berkaitan Huawei, yang mana akan tamat pada 15 Mei 2020 ini.

Halngan ini juga dilihat membuatkan Huawei untuk melihat kepada beberapa alternatif lain, termasuk menawarkan kedai aplikasi alternatif mereka tersendiri, seperti AppGallery.

Pengguna Samsung Galaxy S20 Ultra Melaporkan Masalah Lensa Kamera Yang Pecah Secara Tiba-Tiba

Samsung Galaxy S20 Ultra adalah peranti mercu premium Samsung tahun ini. Harga jualan menghampiri RM5000 dan mempunyai kamera 108MP dan kemampuan zum 100x. Ia turut menggunakan skrin AMOLED 120Hz yang lebih mendatar dengan rekaan skrin berlubang. Pada bahagian kamera, Samsung menggunakan modul kamera segi empat yang mempunyai bonjol sangat tebal.

Terkini, melalui laporan dari Sammobile – ramai pengguna Samsung mengalami masalah lensa kamera peranti yang pecah secara tiba-tiba. Menurut laporan, pengguna-pengguna yang mengalami masalah ini menjaga peranti mereka dengan baik. Tiada insiden terhentak, terjatuh, malah ramai di antara mereka menggunakan kerangka pelindung berkualiti. Masalah ini dilihat bercampur-campur, ada yang hanya mempunyai retak halus yang mengehadkan kemampuan zum ada juga yang terus pecah meninggalkan lubang besar.


Samsung dikatakan mengambil kira masalah ini sebagai kerosakan kosmetik, iaitu salah pengguna dan mereka tidak boleh membaiki peranti mereka secara percuma. Sebaliknya mereka perlu membayar pada harga $100 (~RM436) untuk pengguna yang melanggan Samsung Premium Care dan $400 (~RM1745) bagi pengguna biasa. Kemudian, disebabkan wabak Covid-19 yang berleluasa, tidak semua pengguna dapat membaiki peranti mereka.

Buat masa ini, Samsung masih belum mengakui yang perkara ini adalah satu isu. Ini kerana isu ini dilihat hanya berlaku pada segelintir pengguna sahaja dan tidak meluas. Ini juga bukan isu pertama yang berlaku pada Samsung Galaxy S20 Ultra, sebelum ini pengguna melaporkan masalah pemanasan dan pemfokusan kamera. Manakala siri Galaxy S20 lain ada mengalami masalah reboot secara tiba-tiba dan juga masalah GPS.

Qualcomm Memperkenalkan Snapdragon 720G, 662 Dan 460

Qualcomm hari ini telah pun memperkenalkan sejumlah cip pemprosesan baru memfokuskan peranti berspesifikasi pertengahan dengan sokongan rangkaian 4G dan juga sambungan WiFi 6.

Sebanyak tiga cip pemprosesan diperkenalkan oleh Qualcomm, iaitu Snapdragon 720GSnapdragon 662, dan juga Snapdragon 460.


Paling berkuasa antara ketiga-tiganya adalah Snapdragon 720G. Dengan penggunaan huruf “G” pada penghujungnya, ia sedia memfokuskan permua dan multimedia, serta menawarkan sokongan Snapdragon Elite Gaming.

Snapdragon 720G menggunakan cip dwi-teras Kyro 465 (berasaskan Cortex A76) dan 6 teras Kyro 465 (berasaskan Cortex A55). Ia menggunakan binaan berasaskan 8nm, menyokong memori sehingga 8GB RAM, dan dilengkapi GPU Adreno 618.

Snapdragon 662 pula menggunakan gabungan empat teras Kyro 260 (berasaskan Cortex A73) dan empat teras Kyro 260 (berasaskan Cortex A53). Cip ini menggunnakan binaan berasaskan 11nm, menyokong memori sehingga 8GB RAM, dan dilengkapi GPU Adreno 610.

Akhir sekali, cip Snapdragon 460 pula hadir dengan cip lapan teras Kyro 240 yang menggunakan binaan berasaskan 11nm. Ia menyokong memori sehingga 8GB RAM, dan dilengkapi GPU Adreno 610.

Peranti yang menggunakan cip pemprosesan ini dijangka hadir pada suku pertama 2020 ini. Dengan acara MWC 2020 yang menjelang tiba pada minggu hadapan, mungkin kita akan mendengar lebih lanjut berkenaan dengannya tidak lama lagi.

Jepun Menyasarkan Pelancaran Rangkaian 6G Menjelang 2030

Ujian rangkaian 5G sedang berjalan rancak di Pulau Langkawi sejak dua minggu kebelakangan ini. Sekiranya semua berjalan lancar, rangkaian 5G boleh dikomersilkan di Malaysia menjelang suku ketiga tahun 2020. Sedang kita masih rancak merancang pelancaran 5G, Jepun sudah memulakan usaha untuk melancarkan rangkaian 6G di negara mereka.


Usaha awal telah dimulakan dengan sasaran melancarkan rangkaian 6G menjelang 2030. Rangkaian 6G akan memberikan kelajuan sehingga 10 kali ganda rangkai 5G semasa. Badan kajian teknologi 6G ini akan diketuai oleh Universiti Tokyo Goshinjin dengan kerjasama NTT dan Toshiba. Tahun lalu kerajaan Jepun telah menyediakan dana 220 bilion Yen (~RM 81. bilion) untuk pembangunan teknologi 5G oleh syarikat tempatan.

Jepun akan hanya melancarkan rangkaian 5G komersial dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Dengan penubuhan badan penyelidikan teknologi 6G ini, Jepun menjadi negara keempat selepas China, Finland dan Korea Selatan yang sudah memulakan kajian untuk rangkaian selular generasi ke-enam.

Spesifikasi Penuh Samsung Galaxy S20 Tertiris – Skrin 120Hz, Bateri 5000mAh, 108MP, Exynos 990

Imej sebenar Samsung Galaxy S20+ 5G sudah pun tertiris baru-baru ini. Secara tidak langsung mengesahkan nama peranti adalah S20 bukannya S11. Selain itu, skrin juga tidak lagi melengkung seperti biasa tetapi sedikit rata seakan Pixel 2 XL.


Terkini, spesifikasi penuh untuk kesemua peranti S20 – iaitu S20 Ultra 5G, S20 Plus 5G dan S20 5G telah tertiris. Ia memperlihatkan spesifikasi yang pernah kita dengari sebelum ini, seperti skrin 120Hz, kamera 108MP, bateri sehingga 5000mAh dan mengekalkan skrin berlubang Infinity-O Display.


Apa yang menarik dengan siri Galaxy S20 ini adalah, semua skrin adalah sama WQHD+ 120Hz. Beza hanyalah saiz skrin dan PPI sahaja. Seterusnya adalah, ini spesifikasi untuk pasaran Asia (termasuk Malaysia) kerana cip yang digunakan adalah Exynos 990 7nm. Lebih menarik adalah kapasiti bateri yang digunakan adalah 4,000mAh, 4500mAh dan 5,000mAh.


Untuk kamera pula, Galaxy S20 Ultra 5G dan S20+ 5G menggunakan kuad-kamera dan Galaxy S20 5G pula hanya tiga. Lensa untuk S20 dan S20+ terhad kepada 12MP sahaja, manakala pada S20 Ultra adalah paling hebat 108MP. Telefoto pula adalah 4MP dan 64MP, dan kesemuanya mempunyai lensa sudut ultra lenar 12MP. Sensor ToF hanya terhad untuk S20+ dan Ultra sahaja dan kamera swafoto pada S20/S20+ adalah 10MP dan 40MP pada S20 Ultra.

Ini adalah spesifikasi untuk variasi 5G. Ada khabar angin mengatakan yang variasi 4G turut akan diperkenalkan. Sekarang apa yang kita perlu nantikan adalah harga. Sama-sama kita nantikan acara Galaxy Unpacked pada 11 Februari ini.

Huawei Akan Menggunakan Teknologi TomTom Pada Aplikasi Pemetaan Rasmi

Sejak dihalang dari melakukan perdagangan dengan syarikat yang berpangkalan di A.S, Huawei telah menggandakan usaha untuk menjadi lebih berdikari. Seperti kami laporkan bulan lalu, Huawei kini sedang membangunkan perisian tersendiri sebagai alternatif kepada Gapps termasuk pemetaan dan navigasi alternatif untuk Google Maps, alternatif untuk pemesejan, pembayaran dan sebagainya.


Mereka kini secara rasmi akan menggunakan teknologi milik TomTom di dalam sistem pemetaan peranti mereka. Selain maklumat pemetaan, Huawei akan turut menggunakan sistem maklumat trafik, navigasi bagi membangunkan perisian navigasi mereka sendiri. TomTom ialah syarikat yang berpangkalan di Belanda yang membolehkan urusan dengan Huawei dilakukan tanpa sebarang halangan.

Menurut jurucakap TomTom, perjanjian telah dipersetujui sebelum ini tetapi hanya kini didedahkan kepada umum. Tiada maklumat mengenai bayaran yang diterima oleh TomTom dari Huawei untuk pelesenan teknologi pemetaan.

Google Play Store Dengan Antaramuka Baharu Kini Diberikan Kepada Semua Pengguna

Antaramuka aplikasi Google kerap kali diubah mengikut peredaran masa. Dengan pengenalan Material Design beberapa tahun yang lalu, kesemua antaramuka mula diubah selari dengan pendekatan rekaan minimalis ini. Semalam Google akhirnya memberikan antaramuka baharu Play Store kepada kesemua pengguna selepas mengujinya sejak beberapa bulan yang lalu.


Pada peranti Android kini terdapat empat butang navigasi pada bahagian bawah skrin untuk permua, aplikasi, TV dan filem, dan buku. Dengan empat menu ini, proses mencari aplikasi yang paling relevan dengan keperluan dapat dilakukan. Pada Tablet dan peranti Chrome OS pula, empat butang ini diletakkan pada bahagian sisi kiri skrin. Selain menu baharu, susunan paparan aplikasi dan maklumat mengenai aplikasi juga kini lebih terang bagi memudahkan pengguna memastikan aplikasi serasi dengan kehendak mereka.

Samsung Galaxy Note 10 Dan Note 10+ Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula Dari RM3699

Seminggu selepas dilancarkan secara rasmi di New York, Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ akhirnya dilancarkan pula untuk pasaran Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Samsung Galaxy Note 10 ditawarkan pada harga RM3699sebuah manakala Galaxy Note 10+ pula pada harga RM4199 untuk storan sebesar 256GB dan RM4799 untuk storan sebesar 512GB.

Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Note 10+ yang dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED QHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4300 mAh. Bagi yang memerlukan storan tambahan, ia masih mengekalkan sokongan kad mikro SD sehingga 1TB.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12+ 3D TOF Megapixel. Kamera utama 12-Megapixel dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Sensor terakhir TOF membolehkan imbasan dunia secara 3D seperti yang ditemui pada Galaxy S10 5G. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel.

Bateri peranti sebesar 4300 mAh menyokong pengecasan berwayar  sehingga 45W dan nirwayar 20W. Masih terdapat fungsi menyokong pengecasan peranti lain PowerShare sekiranya diperlukan. Samsung hanya menyertakan pengecas 25W dengan setiap pembelian.


Samsung Galaxy Note 10 pula dilengkapi skrin 6.3″ Dynamic AMOLED FHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB UFS 3.0 dan bateri sebesar 3500 mAh. Sedikit mengejutkan peranti ini tidak mempunyai slot untuk kad mikro SD.


Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12 Megapixel. Kamera utama dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Bateri peranti sebesar 3600 mAh menyokong pengecasan berwayar 25W tetapi tidak menyokong pengecasan 45W seperti Note 10+.

Tahun ini penambahbaikan paling besar dilakukan pada skrin yang mempunyai dagu dan dahi yang amat nipis berbanding Note 9. Pengimbas cap jari dalam skrin ultrasonik turut disertakan pada kedua-dua model. Hasilnya ialah peranti yang mempunyai 94% skrin pada bahagian hadapan.

S Pen dipertingkatkan dengan sokongan accelerometer yang membolehkan ia mengesan gesture yang dipanggil Air Actions. Penggunaan kamera utama ke swafoto, mengubah mod kamera dan melakukan zum kesemua boleh dilakukan dengan menggerakkan S Pen di udara seperti tongkat ahli sihir.

DeX kali ini boleh digunakan pada sebuah komputer Windows 10. Apabila Note 10 disambungkan pada sebuah PC, kesemua storan di dalam peranti boleh dipindahkan ke dalam komputer secara drag and drop. Fail dari PC ke Note 10 juga boleh dipindahkan menggunakan kaedah yang sama.

Untuk pasaran Malaysia, Samsung Galaxy Note 10 ditawarkan dengan warna Aura Glow, Aura Black dan, Aura Pink. Samsung Galaxy Note 10+ pula ditawarkan dengan warna Aura Glow, Aura White, dan Aura Black.

Telekom Malaysia Hadir Dengan Aplikasi myUnifi – Satu Aplikasi Untuk Pengurusan Pelbagai Perkara Berkaitan Unifi

Telekom Malaysia kini telah hadir dengan sebuah aplikasi baru untuk pengguna peranti Android dan juga iPhone, dinamakan sebagai myunifi. Melaluinya, TM ingin memudahkan pengguna menguruskan pelbagai perkara berkaitan Unifi dengan hanya menggunakan satu aplikasi sahaja.
Menggunakan aplikasi myUnifi baru ini, ia membolehkan anda melihat penggunaan anda, membuat pembayaran, selain menerima notifikasi berkaitan akaun anda. Disamping itu, pengguna turut boleh menggunakan aplikasi sama untuk mengikuti pelbagai promosi semasa.
Aplikasi MyUnifi ini juga turut boleh digunakan untuk mengakses khidmat pelanggan dan mendapatkan sokongan dengan pantas daripada pihak TM.
MyUnifi
Bagi anda yang menggunakan perkhidmatan TM Unifi, anda boleh memuat-turun aplikasi ini dan menggunakannya dalam pengurusan akaun Unifi anda hari ini.

Instagram Dan WhatsApp Dilaporkan Bakal Dijenamakan Semula Dengan Penambahan Jenama “Facebook”



Instagram dan WhatsApp merupakan antara produk popular yang dimiliki oleh Facebook. Ia masih beroperasi secara bebas pada hari ini, dan kini ia dilaporkan yang mana Facebook ingin membuatkan orang ramai mengetahui kedua-dua perkhidmatan berkenaan adalah milik Facebook dengan jelas.
Menurut The Information, Facebook kelak bakal menambah penjenamaan mereka, dan akan menamakannya sebagai “Instagram dari Facebook” dan juga “WhatsApp dari Facebook”.
Pada hari ini, antara jenama dibawah Facebook yang telah mula menggunakan konsep lebih kurang sama adalah Oculus dan juga WorkPlace, dimana kedua-duanya menambah “Dari Facebook” pada penjenamaan mereka.
Dengan langkah ini, ia sekaligus akan membuatkan orang ramai lebih mudah mengenali akan penawaran-penawaran daripada Facebook.
Ia tidak diketahui sama ada pengguna akan lebih meminati langkah ini atau tidak, memandangkan ada yang masih skeptikal berkaitan privasi dan Facebook. Apa pun, dengan sasaran untuk menjadikan sistem permesejan yang disatukan, dan beberapa perancangan lain, mungkin ini adalah salah satu langkah yang tepat daripada Facebook.
Apa kata anda?

TM Mengumumkan Pakej Streamyx Baru – 8Mbps Pada Harga RM89 Sebulan


Bersama-sama pengumuman penggunaan teknologi GigaWire untuk mengatasi masalah capaian rangkaian, pihak TM hari ini turut mengumumkan sebuah pelan baru untuk Streamyx, iaitu pakej kelajuan mencapai 8Mbps pada harga RM89 sebulan.
Menariknya, pengguna sedia ada boleh menikmati pakej ini pada harga promosi RM69 sebulan. Harga baru ini adalah untuk pengguna perumahan sahaja, dan tiada pengumuman untuk pengguna perusahaan buat masa ini.
Perubahan harga ini semestinya akan diminati ramai pengguna, apatah lagi sebelum ini ramai yang perlu membayar sehingga RM110 sebulan untuk pakej 1Mbps sahaja.
TM dijangka akan berkongsi lanjut mengenai promosi baru ini tidak lama lagi. TM turut mengatakan yang mana mereka akan turut hadir dengan penawaran nirwayar tersendiri dalam mengatasi masalah rangkaian yang dihadapi oleh pengguna Streamyx tidak lama lagi.

Celcom Home Kini Ditawarkan Di Seluruh Malaysia – 30Mbps Untuk RM80, 100Mbps Untuk RM120

Celcom hari ini mengumumkan yang mana perkhidmatan internet jalur-lebar berkelajuan tinggi mereka, Celcom Home Fibre ditawarkan diseluruh Malaysia. Sebelum ini, perkhidmatan ini hanya ditawarkan terhad di Sabah, dan juga di Jasin.
Dengan penawaran ini, pengguna boleh menikmati Celcom Home Fibre pada harga RM80 untuk kelajuan 30Mbps, sementara pakej 100Mbps pula ditawarkan pada harga RM120. Ia dilihat Celcom sedikit mengurangkan kelajuan mereka berbanding sebelum ini, dimana pakej berharga RM80 ditawarkan pada kelajuan 40Mbps.
Celcom Home Fibre
Seperti biasa, pakej baru ini turut hadir dengan penawaran kuota internet tanpa had, selain panggilan pada kadar 10 sen seminit ke semua rangkaian seluruh negara.
Selain pakej berkenaan, Celcom juga turut menawarkan pakej Celcom Home Wireless yang menawarkan purata kelajuan 30Mbps pada harga bermula RM70 untuk kuota 25GB.
Celcom Home Fibre

Microsoft Kelak Akan Menyokong Pemasangan Semula Windows 10 Dari Storan Awan

Antara perkara yang kerap kami lakukan suatu masa dahulu ialah melakukan pemasangan semula sistem operasi Windows setahun sekali. Sebuah cakera padat Windows sentiasa disimpan. Kini proses yang sama memerlukan kami memuat turun dahulu satu salinan Windows 10 ke dalam pemacu USB. Di masa hadapan proses pemasangan semula sistem operasi Windows akan boleh dilakukan menerusi storan awan.

Di dalam versi terkini Windows 10 Insider Preview Build 18950. pilihan “Cloud Download” mula diberikan semasa melakukan tetapan semula PC. Salinan Windows 10 akan dimuat turun dari storan awan untuk memulihkan semula PC. Ini adalah fungsi yang sama seperti yang ditawarkan oleh macOS sejak lima tahun yang lalu.
Buat masa ini fungsi memasang semula Windows 10 dari storan awam masih belum berfungsi dan sekadar persediaan untuk ia diaktifkan kepada pengguna program Insider. Ia pastinya berguna bagi mereka yang hanya mempunyai satu PC dan tidak mempunyai cara lain untuk memuat turun satu salinan Windows 10 ke dalam sebuah pemacu USB.