Google Play Store Dengan Antaramuka Baharu Kini Diberikan Kepada Semua Pengguna

Antaramuka aplikasi Google kerap kali diubah mengikut peredaran masa. Dengan pengenalan Material Design beberapa tahun yang lalu, kesemua antaramuka mula diubah selari dengan pendekatan rekaan minimalis ini. Semalam Google akhirnya memberikan antaramuka baharu Play Store kepada kesemua pengguna selepas mengujinya sejak beberapa bulan yang lalu.


Pada peranti Android kini terdapat empat butang navigasi pada bahagian bawah skrin untuk permua, aplikasi, TV dan filem, dan buku. Dengan empat menu ini, proses mencari aplikasi yang paling relevan dengan keperluan dapat dilakukan. Pada Tablet dan peranti Chrome OS pula, empat butang ini diletakkan pada bahagian sisi kiri skrin. Selain menu baharu, susunan paparan aplikasi dan maklumat mengenai aplikasi juga kini lebih terang bagi memudahkan pengguna memastikan aplikasi serasi dengan kehendak mereka.

Samsung Galaxy Note 10 Dan Note 10+ Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula Dari RM3699

Seminggu selepas dilancarkan secara rasmi di New York, Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ akhirnya dilancarkan pula untuk pasaran Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Samsung Galaxy Note 10 ditawarkan pada harga RM3699sebuah manakala Galaxy Note 10+ pula pada harga RM4199 untuk storan sebesar 256GB dan RM4799 untuk storan sebesar 512GB.

Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Note 10+ yang dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED QHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4300 mAh. Bagi yang memerlukan storan tambahan, ia masih mengekalkan sokongan kad mikro SD sehingga 1TB.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12+ 3D TOF Megapixel. Kamera utama 12-Megapixel dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Sensor terakhir TOF membolehkan imbasan dunia secara 3D seperti yang ditemui pada Galaxy S10 5G. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel.

Bateri peranti sebesar 4300 mAh menyokong pengecasan berwayar  sehingga 45W dan nirwayar 20W. Masih terdapat fungsi menyokong pengecasan peranti lain PowerShare sekiranya diperlukan. Samsung hanya menyertakan pengecas 25W dengan setiap pembelian.


Samsung Galaxy Note 10 pula dilengkapi skrin 6.3″ Dynamic AMOLED FHD+ HDR10+, dijana cip Exynos 9825, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB UFS 3.0 dan bateri sebesar 3500 mAh. Sedikit mengejutkan peranti ini tidak mempunyai slot untuk kad mikro SD.


Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12 Megapixel. Kamera utama dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4. Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Bateri peranti sebesar 3600 mAh menyokong pengecasan berwayar 25W tetapi tidak menyokong pengecasan 45W seperti Note 10+.

Tahun ini penambahbaikan paling besar dilakukan pada skrin yang mempunyai dagu dan dahi yang amat nipis berbanding Note 9. Pengimbas cap jari dalam skrin ultrasonik turut disertakan pada kedua-dua model. Hasilnya ialah peranti yang mempunyai 94% skrin pada bahagian hadapan.

S Pen dipertingkatkan dengan sokongan accelerometer yang membolehkan ia mengesan gesture yang dipanggil Air Actions. Penggunaan kamera utama ke swafoto, mengubah mod kamera dan melakukan zum kesemua boleh dilakukan dengan menggerakkan S Pen di udara seperti tongkat ahli sihir.

DeX kali ini boleh digunakan pada sebuah komputer Windows 10. Apabila Note 10 disambungkan pada sebuah PC, kesemua storan di dalam peranti boleh dipindahkan ke dalam komputer secara drag and drop. Fail dari PC ke Note 10 juga boleh dipindahkan menggunakan kaedah yang sama.

Untuk pasaran Malaysia, Samsung Galaxy Note 10 ditawarkan dengan warna Aura Glow, Aura Black dan, Aura Pink. Samsung Galaxy Note 10+ pula ditawarkan dengan warna Aura Glow, Aura White, dan Aura Black.

Telekom Malaysia Hadir Dengan Aplikasi myUnifi – Satu Aplikasi Untuk Pengurusan Pelbagai Perkara Berkaitan Unifi

Telekom Malaysia kini telah hadir dengan sebuah aplikasi baru untuk pengguna peranti Android dan juga iPhone, dinamakan sebagai myunifi. Melaluinya, TM ingin memudahkan pengguna menguruskan pelbagai perkara berkaitan Unifi dengan hanya menggunakan satu aplikasi sahaja.
Menggunakan aplikasi myUnifi baru ini, ia membolehkan anda melihat penggunaan anda, membuat pembayaran, selain menerima notifikasi berkaitan akaun anda. Disamping itu, pengguna turut boleh menggunakan aplikasi sama untuk mengikuti pelbagai promosi semasa.
Aplikasi MyUnifi ini juga turut boleh digunakan untuk mengakses khidmat pelanggan dan mendapatkan sokongan dengan pantas daripada pihak TM.
MyUnifi
Bagi anda yang menggunakan perkhidmatan TM Unifi, anda boleh memuat-turun aplikasi ini dan menggunakannya dalam pengurusan akaun Unifi anda hari ini.

Instagram Dan WhatsApp Dilaporkan Bakal Dijenamakan Semula Dengan Penambahan Jenama “Facebook”



Instagram dan WhatsApp merupakan antara produk popular yang dimiliki oleh Facebook. Ia masih beroperasi secara bebas pada hari ini, dan kini ia dilaporkan yang mana Facebook ingin membuatkan orang ramai mengetahui kedua-dua perkhidmatan berkenaan adalah milik Facebook dengan jelas.
Menurut The Information, Facebook kelak bakal menambah penjenamaan mereka, dan akan menamakannya sebagai “Instagram dari Facebook” dan juga “WhatsApp dari Facebook”.
Pada hari ini, antara jenama dibawah Facebook yang telah mula menggunakan konsep lebih kurang sama adalah Oculus dan juga WorkPlace, dimana kedua-duanya menambah “Dari Facebook” pada penjenamaan mereka.
Dengan langkah ini, ia sekaligus akan membuatkan orang ramai lebih mudah mengenali akan penawaran-penawaran daripada Facebook.
Ia tidak diketahui sama ada pengguna akan lebih meminati langkah ini atau tidak, memandangkan ada yang masih skeptikal berkaitan privasi dan Facebook. Apa pun, dengan sasaran untuk menjadikan sistem permesejan yang disatukan, dan beberapa perancangan lain, mungkin ini adalah salah satu langkah yang tepat daripada Facebook.
Apa kata anda?

TM Mengumumkan Pakej Streamyx Baru – 8Mbps Pada Harga RM89 Sebulan


Bersama-sama pengumuman penggunaan teknologi GigaWire untuk mengatasi masalah capaian rangkaian, pihak TM hari ini turut mengumumkan sebuah pelan baru untuk Streamyx, iaitu pakej kelajuan mencapai 8Mbps pada harga RM89 sebulan.
Menariknya, pengguna sedia ada boleh menikmati pakej ini pada harga promosi RM69 sebulan. Harga baru ini adalah untuk pengguna perumahan sahaja, dan tiada pengumuman untuk pengguna perusahaan buat masa ini.
Perubahan harga ini semestinya akan diminati ramai pengguna, apatah lagi sebelum ini ramai yang perlu membayar sehingga RM110 sebulan untuk pakej 1Mbps sahaja.
TM dijangka akan berkongsi lanjut mengenai promosi baru ini tidak lama lagi. TM turut mengatakan yang mana mereka akan turut hadir dengan penawaran nirwayar tersendiri dalam mengatasi masalah rangkaian yang dihadapi oleh pengguna Streamyx tidak lama lagi.

Celcom Home Kini Ditawarkan Di Seluruh Malaysia – 30Mbps Untuk RM80, 100Mbps Untuk RM120

Celcom hari ini mengumumkan yang mana perkhidmatan internet jalur-lebar berkelajuan tinggi mereka, Celcom Home Fibre ditawarkan diseluruh Malaysia. Sebelum ini, perkhidmatan ini hanya ditawarkan terhad di Sabah, dan juga di Jasin.
Dengan penawaran ini, pengguna boleh menikmati Celcom Home Fibre pada harga RM80 untuk kelajuan 30Mbps, sementara pakej 100Mbps pula ditawarkan pada harga RM120. Ia dilihat Celcom sedikit mengurangkan kelajuan mereka berbanding sebelum ini, dimana pakej berharga RM80 ditawarkan pada kelajuan 40Mbps.
Celcom Home Fibre
Seperti biasa, pakej baru ini turut hadir dengan penawaran kuota internet tanpa had, selain panggilan pada kadar 10 sen seminit ke semua rangkaian seluruh negara.
Selain pakej berkenaan, Celcom juga turut menawarkan pakej Celcom Home Wireless yang menawarkan purata kelajuan 30Mbps pada harga bermula RM70 untuk kuota 25GB.
Celcom Home Fibre

Microsoft Kelak Akan Menyokong Pemasangan Semula Windows 10 Dari Storan Awan

Antara perkara yang kerap kami lakukan suatu masa dahulu ialah melakukan pemasangan semula sistem operasi Windows setahun sekali. Sebuah cakera padat Windows sentiasa disimpan. Kini proses yang sama memerlukan kami memuat turun dahulu satu salinan Windows 10 ke dalam pemacu USB. Di masa hadapan proses pemasangan semula sistem operasi Windows akan boleh dilakukan menerusi storan awan.

Di dalam versi terkini Windows 10 Insider Preview Build 18950. pilihan “Cloud Download” mula diberikan semasa melakukan tetapan semula PC. Salinan Windows 10 akan dimuat turun dari storan awan untuk memulihkan semula PC. Ini adalah fungsi yang sama seperti yang ditawarkan oleh macOS sejak lima tahun yang lalu.
Buat masa ini fungsi memasang semula Windows 10 dari storan awam masih belum berfungsi dan sekadar persediaan untuk ia diaktifkan kepada pengguna program Insider. Ia pastinya berguna bagi mereka yang hanya mempunyai satu PC dan tidak mempunyai cara lain untuk memuat turun satu salinan Windows 10 ke dalam sebuah pemacu USB.

Intel Memperkenalkan Siri CPU Generasi Kesepuluh Ice Lake

Intel mengumumkan di acara Computex Taipei bahawa mereka akan mula memperkenalkan peranti dengan siri CPU generasi kesepuluh mereka, yang hadir dengan kod nama Ice Lake pada penghujung tahun ini.
Nampaknya kita akan dapat melihat peranti-peranti tersebut tidak lama lagi kerana Intel baru sahaja mengumumkan SKU cip pemprosesan tersebut untuk peranti mudah-alih melalui CPU Intel siri Y dan siri U.
Untuk pengeluaran awal, Intel akan memfokuskan perhatian mereka terhadap komputer riba, dimana sebahagian besar peranti-peranti diluar sana masih dikuasakan oleh CPU daripada Intel.
Project Athena ialah satu nama yang banyak diperkatakan, kerana dengan projek ini, Intel dilihat ingin merombak semula konsep Ultrabook, iaitu peranti ringan dan nipis yang juga hadir dengan spesifikasi berkuasa dan premium.
Dengan siri CPU Ice Lake, Intel dilihat bukan sahaja memperkenalkan ciri-ciri baru seperti sokongan untuk WiFi 6 (802.11ax), tetapi juga sokongan untuk palam Thunderbolt 3 dan kebolehan grafik yang lebih berkuasa melalui cip grafik Iris Plus yang membolehkan pengguna bermain permainan komputer tanpa memerlukan cip pemprosesan grafik kendiri.
Apa yang lebih menarik lagi ialah kesemua siri CPU yang diperkenalkan Intel, dari Intel Core i3-1000G1hinggalah Intel Core i7-1068G7 akan hadir dengan ciri Hyper-Threading dimana jumlah bebenang kuasa adalah dua kali jumlah teras fizikal didalam CPU tersebut. Bergantung kepada model CPU, komputer-komputer riba Ice Lake akan tiba dengan CPU dengan dua teras dan empat bebenang kuasa hinggalah CPU dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa.
Dalam pada itu, kesemua CPU Ice Lake juga hadir dengan jumlah TDP yang rendah, dari 9W sehinggalah 28W sahaja. Intel turut mengesahkan bahawa pada penghujung bulan Ogos dan awal bulan September, mereka akan menunjukkan 11 model komputer riba nipis dan ringan yang menggunakan CPU Intel generasi kesepuluh ini, termasuklah komputer riba tradisional dan juga model-model yang mempunyai rekaan 2-dalam-1 dan sebagainya.
Intel nampaknya sudah merasa bahang persaingan daripada AMD yang bertungkus-lumus merapatkan jurang diantara kedua-dua syarikat tersebut. Walaupun AMD boleh dikatakan sedang memenangi pertarungan CPU desktop, Intel masih boleh mengatakan mereka memegang takhta pasaran CPU komputer riba.
Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu peranti-peranti Intel generasi kesepuluh ini tiba di pasaran nanti.